KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BINTULU

ISU HARGA RUMAH DI BINTULU

Rumah merupakan salah satu keperluan asas bagi setiap individu yang hidup di dunia ini. Tidak kira di mana manusia berada, pasti rumah akan dijadikan tempat untuk berteduh dan berlindung dari panas siang dan sejuknya malam. Boleh dikatakan jumlah rumah di Malaysia bertambah dengan bertambahnya masa dek kerana populasi rakyat Malaysia yang semakin lama semakin bertambah. Jika jumlah rumah tidak cukup menampung populasi rakyat yang semakin bertambah, maka timbullah pelbagai masalah seperti tiada tempat tinggal dan kenaikan harga rumah.

Perkara inilah yang berlaku di Bintulu, sebuah bandar di Sarawak yang terkenal hasil petroleumnya. Semakin bertambah hari, semakin banyak projek yang akan dibangunkan di sekitar Sarawak ini. Baik projek di MLNG, projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di Taman Perindustrian Samalaju dan lain-lain. Secara sifirnya, penambahan projek-projek baru akan meningkatkan jumlah kemasukan pekerja-pekerja baru bagi melaksanakan projek yang dibangunkan. Sudah pasti pekerja yang baru datang ke Bintulu ingin mencari tempat berteduh sementara mereka di sini.

Namun begitu, jumlah rumah yang sedia ada tidak cukup banyak untuk menampung situasi ini. Projek pembangunan rumah baru juga disifatkan baru bermula dan tidak cukup banyak bagi menampung keperluan mereka yang ingin tinggal di sini. Rumah yang dijual pula terlalu mahal di mana harga jualan yang dimaklumkan adalah sekitar RM380,000 ke atas bagi rumah teres tengah dua tingkat. Harga ini tidak munasabah bagi mereka yang baru bekerja selama 5 ke 10 tahun dan berpendapatan RM 2000 ke RM 3500 sebulan. Ini kerana, bagi sebuah rumah yang berharga begini, wang pendahuluan yang harus dikeluarkan adalah RM40,000 dan bayaran bulanan adalah sebanyak RM 1900 ke atas bagi pinjaman selawa 30 tahun.

Bagi mereka yang ingin menyewa rumah pula, masalah yang dihadapi adalah harga rumah yang sangat mahal. Bila disebut ‘rumah sewa’, perkara pertama yang menghantui minda adalah harga sewa yang sangat tinggi. Tuan rumah terpaksa menaikkan harga sewa ke RM 1000 dan ke atas sebulan bagi menampung bayaran rumah yang mereka miliki. Rumah yang berharga sewa sedemikian bukanlah dipenuhi perabot, bahkan ada yang kosong dan tiada perabut. Harga sebegini jika dibandingkan dengan Semenanjung amatlah jauh bezanya. Dengan harga RM 1000, rumah teres dua tingkat beserta perabot mampu dimiliki sementara. Rata-rata yang baru mula bekerja di sini mengalami kesulitan untuk mencari rumah sewa. Itu baru cerita berkenaan harga sewa rumah. Harga sewa bilik juga tidak jauh beza masalahnya. RM 300 ke RM 500 merupakan harga ‘standard’ bagi satu bilik di sini. 

Tidak dinafikan isu ini menjadi berita hangat sehingga terpampang di salah sebuah akhbar tempatan. Di dalam berita yang bertajuk “Harga rumah di Bintulu paling mahal di Sarawak”, Menteri Perumahan Sarawak ada menyebutkan beberapa tindakan susulan akan diambil bagi mengatasi masalah ini. Namun, sehingga kini masalah ini masih berlarutan seolah-olah tiada penghujungnya. Beliau juga ada menyatakan bahawa perkara ini hanya sementara sahaja kerana projek perindustrian yang akan dimajukan masih dalam fasa pembinaan dan ia kembali pada kadar biasa dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. 

Justeru, kami di Dewan Pemuda PAS Kawasan Bintulu ingin mendesak pihak yang berwajib untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan dengan kadar segera bagi mengatasi masalah harga rumah yang semakin melambung tinggi ini. Jika harga rumah yang dijual adalah rendah, sudah pasti penyewa tidak akan menaikkan harga sewa rumah sewenang-wenangnya. Pihak kementerian sewajibnya campur tangan dalam urusan menetapkan harga maksimum pada setiap satu jenis rumah yang dimajukan. Jika pihak kementerian hanya menyatakan ini hanya akan berlarutan 2 hingga 4 tahun sahaja, bererti kerajaan Barisan Nasional memang tidak memperdulikan nasib rakyat dan sanggup mengorbankan kehidupan rakyat demi kepentingan projek yang sedia ada. Jelas, keperihatinan kerajaan terhadap pengundi yang mengundi mereka selama ini tidak diendahkan.

Impak atau kesan kenaikan harga rumah ini bukan sahaja terkesan kepada warga bukan Bintulu, bahkan rakyat jati 'vae' atau Bintulu juga merana kerana kesusahan yang mereka hadapi dalam memiliki rumah sendiri. 

Tenaga pengajar juga turut terkesan dengan situasi yang membebankan ini. Bagi warga guru yang datang jauh dari semenanjung dan sanggup berkorban untuk mengajar anak bangsa di Bintulu, pihak Kementerian Pelajaran wajib mengambil perhatian yang secukupnya kepada mereka dengan menjaga kebajikan mereka sebaiknya. Dalam keadaan Bintulu yang kekurangan guru di Sarawak dan masih memerlukan tenaga guru dari Semenanjung, pihak kementerian harus memberi yang terbaik bukan hanya dengan elaun perumahan untuk mereka, bahkan kami di pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bintulu mencadangkan agar dibuat kuarters atau perumahan guru yang mencukupi. Ini penting supaya tenaga pengajar merasa dihargai atas pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa di sini. Jangan dibezakan antara warga Semenanjung dan Sarawak dalam isu ini.

Kita tidak mahu slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” yang sering dilaungkan kerajaan hanya menjadi omongan kosong dalam keadaan rakyat Bintulu masih dibelenggu dengan masalah-masalah ini.

Zharudin Narudin
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bintulu
6 Januari 2013

Posted by Za'im Zaman on Friday, January 11, 2013
categories: edit post

1 Responses to Kenyataan Media - Isu Harga Rumah di Bintulu

  1. Unknown Says:
  2. Salam Zharudin,

    Harap2 isu ini mendapat perhatian dari pihak kerajaan kerana isu ini jarang didengar di media, seperti senyap sahaja. Saya sebagai penduduk Bintulu Sarawak kesal dengan kerajaan kerana tiada apa-apa tindakan dengan pemaju yang sewenang-wenang nya menaikkan harga rumah. Bagaimana dengan slogan Rakyat Didahulukan?adakah Kroni Tiong sahaja yang didahulukan?

     

Post a Comment

Facebook PAS Bintulu


Selamat Datang

Islamic Calendar

Hubungi Kami

Hubungi admin melalui emel: pasbintulu@gmail.com

Masukkan derma ikhlas anda ke:

Akaun PAS Kawasan Bintulu

Bank Islam Malaysia Berhad

11-031-01-002165-4

Laman Diskusi