Showing posts with label Nasional. Show all posts
Showing posts with label Nasional. Show all posts



KUALA LUMPUR: PAS secara rasmi mengarahkan semua ahlinya yang berkesempatan agar menyertai perhimpunan Oren Selamatkan Felda 14 Julai ini.

Arahan rasmi itu dikeluarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu suratnya kepada semua pimpinan dan ahli-ahli PAS.


Surat yang bertarikh 29 Jun itu memaklumkan, mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada 10 Jun telah membuat keputusan untuk mengadakan Himpunan Oren Selamatkan Felda.

Ia merupakan program kemuncak yang dianjurkan PAS sebagai bantahan rakyat terhadap penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH).

"Tujuan utama himpunan ini adalah untuk menyatakan secara aman bantahan kita terhadap penyenaraian FGVH dalam Bursa Saham dan menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung," kata Mustafa daam surat itu.

Sehubungan itu, katanya, semua pimpinan dan ahli PAS di semua peringkat diarahkan hadir ke himpunan tersebut.

Perhimpunan itu akan dimulakan dengan berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur mulai jam 2 petang pada hari Sabtu.

Sebagai makluman, kata Mustafa, semua peserta digalakkan memakai pakaian warna oren sebagai tanda kebersamaan membantah penyenaraian tersebut.

Peserta juga dicadangkan datang lebih awal daripada masa yang ditetapkan untuk mengelakkan daripada tergendalanya perjalanan program ini, tulis Mustafa lagi.

Surat yang ditulis Mustafa ini mula dimasukkan ke dalam facebook dan diedarkan kepada semua ahli dan pemimpin PAS.

Read More
Posted by Abu Zaid on Wednesday, July 4, 2012
0 comments
categories: | edit post


Mutakhir ini perkataan al-Wasatiyyah diwar-warkan, menggantikan slogan Islam Hadhari yang ditenggelamkan entah di mana dan tidak diketahui sampai ke mana. Jangan terjebak dengan apa yang disebut oleh ucapan Sayyidina Ali K.W.


كلمة حق أريد بها باطل

(Kata-kata yang benar dijadikan tujuannya kebatilan)

Kebenaran yang mutlak tanpa dipertikaikan ialah kenyataan daripada Allah. Marilah kita berpegang kepadanya.

Firman Allah (maksudnya):

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang wasatun, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad S.A.W) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: 143)

Dari sini bertolaknya konsep al-Wasatiyyah. Perkataan al-Wasatiyyah (الوسطية) dalam bahasa Arab adalah daripada perkataan al-Wasat(الوسط) yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan. Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana dan terbaik.

Apabila menafsirkan al-Quran dan menghuraikan hadith daripada perkataan al-Wasat adalah tidak tepat dengan makna zahir bahasanya sahaja, sehingga membawa maksud pertengahan di antara baik dan buruk secara bercampur aduk atau adil dan zalim sama-sama dilakukan, dengan maksud boleh dikumpulkan benar dan salah, makruf dan munkar, buat baik dan buat maksiat kerana mesej Islam yang bersumberkan al-Quran dan ditafsirkan oleh sunnah Rasulullah S.A.W membawa mesej pelaksanaan kebaikan yang terbaik dengan betul dan istiqamah serta meninggalkan segala kemunkaran dan mencegahnya secara hikmah.

Ramai yang mengambil kesempatan meninggalkan syariat Allah dengan sengaja, berselindung di sebalik menafsirkan al-Wasatiyyah dengan hujjah, kononnya mengikut kehendak semasa, dengan cara tidak istiqamah mengikut perintah Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan bergantung kepada terjemahan dari segi zahir bahasanya sahaja yang bermakna pertengahan di antara baik dan buruk, adil dan zalim, makruf dan munkar dalam keadaan mencampur adukkan kebaikan dan keburukan atau melaksanakan Islam secara terpilih, bukan keseluruhannya kerana mengikut langkah-langkah syaitan atau beramal dengan sebahagian dan meninggalkan sebahagian lagi, laksana kaum Yahudi yang dimurka Allah (al-maghdub alaihim), atau mengikut kemahuan sendiri laksana penganut ajaran sesat (al-dallin), tanpa usaha yang bersungguh-sungguh melaksanakan mesej umat terpilih dengan menegakkan makruf dan menentang kemunkaran atau tidak bercita-cita melaksanakan Islam sepenuhnya, dibuktikan dengan lebih setengah abad berpeluang mendapat kuasa politik memegang amanah.

Sederhana bukan beramal dengan Islam tanpa kesungguhan atau tidak melampau sehingga menyerah kalah, tanpa perhitungan sempadan nilai yang sebenar daripada hukum Allah dan matlamat kejadian manusia dan fitrahnya mengikut penciptanya sendiri iaitu Allah S.W.T, sehingga meninggalkan syariat Allah yang asasi, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, meninggalkan kewajipan beramal dengan syariat Allah serta tidak sempurna melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar. Allah memberi amaran kapada kaum Bani Israil yang dimurka sehingga hari kiamat, supaya menjadi pengajaran kepada umat Islam.

Firman Allah (maksudnya):

Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.(Surah al-Baqarah: 42)

Apabila Islam keseluruhannya adalah panduan dan petunjuk jalan serta batas sempadan perjalanan kehidupan manusia, jika meninggalkannya atau pelaksanaannya tidak sempurna, menyebabkan berlakunya banyak perkara-perkara yang merosakkan kehidupan manusia dan alam sekelilingnya, maka Islam pula yang dipersalahkan.

Perlu difahami bahawa setiap aspek ajaran Islam yang berkait dengan akidah dengan setiap rukun dan cabangnya, syariat dalam segala urusannya, akhlak dalam segala hubungannya dan sistem pelaksanaannya secara menyeluruh adalah mata rantai yang tidak boleh dipisahkan atau dikurangkan.

Zahir ayat Ummat Wasatiyyah tersebut menegaskan bahawa umat Islam dijadikan contoh di kalangan seluruh manusia dan layak menjadi saksi bagi pihak Rasul terhadap manusia pada hari kiamat kelak, bahawa para Rasul telah menyampaikan petunjuk Allah yang bernama Islam dengan amanah dan sempurna, sehingga mengharungi perjuangan bersama Rasul atau meneruskan perjuangannya yang penuh pengorbanan harta dan jiwa raga, bagi mengislamkan manusia dalam seluruh cara kehidupannya dari dunia dan berwawasan hari akhirat, bukan sekadar wawasan 2020.

Mengikut kaedah ilmu tafasir, al-Quran hendaklah ditafsirkan mengikut keutamaan. Sekiranya ada ayat-ayat al-Quran sendiri yang menafsirkan al-Quran hendaklah didahulukan, kemudian diikuti dengan sunnah Rasulullah S.A.W yang menafsirkan al-Quran, seterusnya diikuti dengan tafsir para ulama sahabat yang menerima secara berdepan dan menyaksikan tafsiran Rasulullah S.A.W secara menghayatinya, kemudian tafsir para ulama salaf dan khalaf (generasi awal dan mutakhir) yang menafsirkan al-Quran mengikut Ulum al- Quran (Ilmu-Ilmu alat bagi memahami al-Quran). Begitulah caranya al-Quran ditafsirkan dengan tepat, mengikut perintah Allah dan petunjuknya melalui Rasulullah S.A.W supaya diamalkan dengan berdasarkan iman. Kalau tidak maka tafsirnya salah dan berdosa besar atau menyeleweng sehingga sesat dan menyesatkan. Kalangan ulama yang mengambil pendekatan begitu adalah mengambil contoh golongan ahli kitab yang dimurka Allah (al-Maghdub alaihim dalam surah al-Fatihah) atau ulama jahat.

Firman Allah menunjukkan adanya kalangan ulama seperti ini (maksudnya):

Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.

Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.

Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim.(Surah al-A’raf: 175-177)

Para ulama tafsir menceritakan ayat-ayat ini berkait dengan ulama yang disuap dengan kesenangan dunia sehingga sanggup memutar belit ayat-ayat Allah.

Al-Quran tidak boleh diseleweng dan dipermainkan kerana tetap dipelihara oleh Allah. Al-Quran itu hendaklah ditafsirkan mengikut ilmu-ilmu yang berkait dengannya iaitu ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf, balaghah, sastera Arab kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab. Ilmu asbab al-nuzul (sebab-sebab turunnya ayat), nasikh dan mansukh dan juga ilmu riwayat dan dirayat.

Maka tafsiran Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah di akhirat.

Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah masyarakat manusia itu dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah (maksudnya):

Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran: 110)

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8) المائدة

(Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang bangun menegakkan agama Allah kerananya (dengan ikhlas), supaya menjadi para saksi dengan adil, dan janganlah dengan sebab kamu bermusuh terhadap sesuatu kaum lalu kamu tidak berlaku adil Berlaku adillah, kerana lebih hampir kepada sifat taqwa dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha teliti pengetahuannya terhadap apa-apa yang kamu lakukan). (Surah al-Maidah: 8)

Rasulullah S.A.W memulakan pembangunan insan generasi awal yang pertama menjadi contoh Ummatan Wasatan dengan menegakkan iman, amal soleh dan akhlak yang mulia, bersumberkan ilmu daripada Allah. Apabila ditawarkan melalui Abu Talib yang paling disegani menjadi Raja atau Ketua dengan harta kekayaan dikumpulkan untuknya, tawaran yang mahal ini ditolak dengan tegas, sabdanya :

يا عم والله لو وضعوا الشمس في يمينى، والقمر في يسارى على أن أترك هذا الامر حتى يظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته .

السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 474)

(Wahai bapa saudara kesayanganku, sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) sehingga dimenangkan oleh Allah atau aku mati kerananya nescaya aku tidak meninggalkannya).

Al-wasatiyyah dalam agama dan sistem cara hidup

Kedatangan Rasulullah S.A.W membawa Islam agama Allah adalah kesinambungan risalah para Rasul sebelumnya, setelah ajaran Rasul terdahulu dipesong menjadi sesat. Dua agama samawi, Yahudi dan Kristian yang terserlah sudah dipinda dan diubah oleh para pendeta dan paderi yang bersekongkol dengan kerajaan yang zalim di zaman masing-masing, sehingga berlaku penindasan agama terhadap masyarakat dengan mengadakan hukum yang tidak diizin oleh Allah.

Agama yang tidak samawi pula lebih sesat, sehingga menjadikan manusia memuja makhluk seperti batu dan binatang yang tidak berakal, serta menyanjung para sami seperti Tuhan. Islam berada ditengah-tengah penyelewengan agama, membawa Aqidah Tauhid mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup, menentang penyelewengan agama samawi dan tidak samawi. Menentang agama yang menjadikan manusia seperti malaikat dan meletakkan manusia seperti binatang dan lebih rendah daripada binatang dan makhluk yang lain.

Berdasarkan firman Allah (maksudnya):

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.(Surah al-Israk: 70)

Islam meletakkan manusia mengikut konsep Wasatiyyah, ada ruh berhubung dengan Tuhan tidak seperti malaikat, ada jasad dan hawa nafsu tidak seperti binatang dan boleh bergerak tidak seperti batu dan kayu.

Islam juga tidak melampau seperti Kristian yang memuja Rasul sehingga diletakkan setaraf ketuhanan dan tidak seperti Yahudi yang menolak Rasul dengan keras sehingga membunuhnya dan meminda ajarannya mengikut hawa nafsu.

Maka Islam adalah wasatiyyah di kalangan agama, kerana meletakkan manusia mengikut fitrahnya dengan tepat dan terbaik mengikut ketentuan Allah, sekiranya manusia itu berpegang dengan Islam dan beramal sepenuhnya dalam cara beragama, bukan dengan makna agama secara sekularisme.

Dalam aspek politik, wujudnya pemerintahan diktatur (kuku besi) yang memberi kuasa mutlak kepada seseorang atau kumpulan. Kemudiannya lahir amalan teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada ahli agama, dan demokrasi Barat yang dikatakan hak kepada rakyat secara mutlak. Maka Islam berbeza dengan semua teori tersebut dengan menyerlahkan wasatiyyah menentang diktatur dan teokrasi serta menentang penipuan terhadap rakyat di atas nama hak rakyat tanpa mengira jahil dan terdesak, dengan menyatakan batas sempadan ketaatan kepada pemimpin dan para ulama dan hak rakyat dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada sesiapa.

Meletakkan batas sempadan perkara-perkara kemampuan manusia dan di luar kemampuan manusia. Islam menegaskan syarat iman, ilmu dan akhlak mengikut perhitungan agama yang adanya muhasabah halal dan haram, serta dosa dan pahala dalam amalan politik, bukan sahaja dalam perkara ibadat, kerana Islam tidak memisahkan politik daripada agama. Menerima apa yang baik dan bijaksana walaupun datang daripada mana tanpa mengira timur dan barat, dan menolak yang buruk dan jahat walaupun dilahirkan di bumi Makkah.

Dalam aspek ekonomi pula Islam menentang teori kapitalisme yang membebaskan hak individu sehingga mengorbankan hak masyarakat dan menentang komunisme dan sosialisme yang merampas hak individu di atas nama keadilan terhadap masyarakat, dan semua teori tersebut berteraskan kebendaan samada memisahkan kewajipan agama dalam ekonomi atau menafikan adanya peranan agama dalam kehidupan manusia.

Islam mengizinkan miliki harta dan mengurusnya, tetapi wajib menunaikan kewajipan bermasyarakat dengan zakat dan lain-lain.

Firman Allah (maksudnya):

Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.(Surah az-Zariyat: 19)

Islam juga memerintahkan supaya membelanjakan harta secara sederhana, tidak boros dan tidak bakhil. Firman Allah (maksudnya):

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya (boros) kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.(Surah al-Israk: 29)

Dalam kehidupan berkeluarga Islam tidak seperti agama yang mengharamkan paderi dan saminya berkahwin seperti malaikat dan ajaran yang membebaskan pergaulan seperti binatang, kerana kedua-duanya bertentangan dengan fitrah manusia. Maka Islam menetapkan hukum berkeluarga bermula daripada pertunangan, sehinggalah perkahwinan, nafkah dan perceraian.

Islam juga menetapkan ajaran yang berkait dengan adab pergaulan dalam keluarga dan masyarakat yang luas, daripada hukum berpakaian sehingga hukum bergaul dan bermuamalat, bagi menjaga akhlak manusia dan keharmonian kehidupan mereka.

Bagi menjaga agama, nyawa, akal, keluarga, maruah dan harta yang menjadi rukun kehidupan manusia maka Allah mewajibkan undang-undang jenayah, qisas dan hudud secara nas dalam hanya beberapa perkara yang tidak boleh dicapai oleh akal manusia yang tetap bersifat makhluk yang lemah. Bagi perkara-perkara yang boleh dicapai dengan ilmu dan pengalaman, maka Islam mengizinkan kebijaksanaan akal dan pengalaman dengan panduannya.

Islam juga berkonsepkan al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa, perdamaian adalah konsep pertama yang wajib didahulukan, dalam masa yang sama mengakui bahawa adanya peperangan yang menjadi fitrah manusia, kerana adanya perbezaan yang membawa pergeseran dan wujudnya manusia yang menjadi pengikut syaitan yang wajib ditentang dengan cara peperangan apabila diceroboh dengan zalim, tetapi diharamkan melampau menggunakan senjata, ketika berperang dan selepasnya walaupun mencapai kemenangan.

Firman Allah (maksudnya):

Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.(Surah al-Baqarah: 190)

Islam mendahulukan perdamaian

Firman Allah (maksudnya):

Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

Dan jika mereka bermaksud menipumu, Maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin.(Surah al-Anfal: 61-62)

Al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa bermakna wajib berlaku adil di masa damai dan perang, tidak menyerah kalah terhadap kezaliman dan tidak melampau apabila bertindak.

Al-Wasatiyyah mengikut al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W menjadi ikutan adalah tetap, teguh dan istiqamah, bukan slogan politik sementara seperti Islam hadari, bersih cekap dan amanah, kepimpinan melalui teladan, yang pelaksanaannya tidak cukup dan tidak berpijak di bumi nyata, tenggelam dalam gejala keruntuhan yang tidak mampu dibaiki dengan islah kerana prinsip yang salah dan konsep yang tempang dan didatangi masalah baru yang bertalu-talu.

Makna wasatiyyah bukan melaksanakan Islam tidak sempurna atau secara terpilih atau campur aduk. Bukan sekadar mendirikan masjid tanpa sempurna mendirikan sembahyang, mengadakan Bank Islam tanpa kuasa mencegah kemunkaran riba, mengadakan musabaqah sekadar mendengar suara tanpa menjadikan petunjuk dalam amalan dan akhlak, kehilangan harta dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan salah urus lebih besar daripada bantuan kepada yang berhak dan kesimpulannya menegakkan kebaikan yang tidak sempurna membiakkan kemunkaran yang meningkat. Maka tidak layak bersifat al- Wasatiyyah untuk menunjukkan model Islam dan tidak layak menjadi saksi di dunia dan akhirat.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden PAS

Read More
Posted by Abu Zaid on Sunday, February 5, 2012


Yang Di Pertua PAS Bintulu bersama dengan beberapa orang penduduk Sg.Asap telah berada di Parlimen bagi menyampaikan permasalahan tanah penduduk kepada Presiden PAS. Ini bertitik tolak daripada kepercayaan mereka kepada kesungguhan pimpinan PAS dalam menangani isu ini. Dalam pada masa yang sama, penduduk dari Sabah serta seluruh Malaysia juga berkumpul untuk tujuan yang sama. Negeri-negeri yang diperintah oleh BN rata-ratanya menghadapi masalah pemilikan tanah serta rampasan tanah. Tinggilah harapan penduduk Sg.Asap yang hadir supaya suara rakyat yang tertindas seperti mereka didengar demi masa depan anak cucu mereka.

Program anjuran Lujnah Pembangunan Tanah PAS Pusat itu diadakan agar para wakil rakyat membuka mata kepada masalah yang dihadapi penduduk. Kehadiran mereka di Parlimen diharapkan agar memberi impak yang positif.

PAS Bintulu amat mengharapkan agar pendekatan serupa sentiasa diambil untuk mengenengahkan permasalahan penduduk supaya ianya diselesaikan dengan cara yang terbaik.

Read More
Posted by Abu Zaid on Monday, December 6, 2010
1 comments
categories: | edit post

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Sept: PAS mempertahankan prinsip bahawa kesemua etnik yang membina negara Malaysia ini perlu dilayan dengan adil dan saksama sesuai dengan keadilan sebenar yang diajar agama Islam.

Dalam perutusan Hari Malaysia, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS komited untuk menjadikan kepelbagaian etnik dalam negara ini sebagai asas memperkukuhkan negara Malaysia yang dicintai ini.

"PAS bukan sahaja akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum ini dengan berasaskan sikap Islam sebenar yang dinyatakan oleh Al-Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w., bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan negara Malaysia itu sendiri," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Sambil mengucapkan Selama Hari Malaysia buat semua rakyat negara ini, beliau turut mengingatkan bahawa sikap memperlekehkan bangsa lain adalah sifat buruk yang mesti dijauhi oleh semua bangsa dan agama.

Selain itu menceroboh dan menghalang hak seseorang juga adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam manakala sikap berlaku adil pula adalah merupakan ciri taqwa orang yang beriman.

Mengulangi pendiriannya dalam ucapannya di Muktamar Agung PAS yang lalu, beliau berkata kepelbagai etnik termasuk yang wujud di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama adalah satu kelebihan dan keistimewaan yang perlu dimanfaatkan.

"Kerencaman ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan negara kita ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar. Inilah yang kita lihat setelah 47 tahun negara Malaysia diwujudkan, dengan kelemahan pimpinan UMNO-BN yang sepatutnya sudah membawa negara tercinta ini berdiri teguh dan mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat," katanya.

[Baca kenyataan penuh]

Read More
Posted by Abu Zaid on Thursday, September 16, 2010
0 comments
categories: | edit post












Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 April: PAS mengucapkan tahniah kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana memperkenalkan gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter.

"Ini adalah satu penghormatan kepada kaum wanita dan keunikan buat sistem pengangkutan awam di negara ini," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) kepada Harakahdaily.

Katanya, PAS amat menyokong langkah itu kerana ia mampu memberikan keselesaan kepada penumpang wanita yang selama ini terpaksa berhimpit-himpit dengan penumpang lelaki khususnya ketika waktu puncak.

Malah, ujarnya langkah itu dapat mengurangkan masalah gangguan seksual kepada penumpang wanita.

"Langkah ini menepati syariat Islam yang meletakkan wanita di tempat paling istimewa yang perlu dilindungi dan dilayani dengan sebaik-baiknya.

"Kemudahan KTM ini walaupun baru namun diyakini akan mendapat sambutan meluas berikutan jumlah penumpang komuter setiap hari yang ramai," ujarnya lagi.

Menurutnya, perkara itu sudah lama dilaksanakan di luar negara seperti di Jepun dan beberapa negara Eropah.

Justeru, tambahnya, PAS mencadangkan agar selepas ini diwujudkan juga gerabak khas untuk mereka yang bekeluarga dan juga warga emas termasuk golongan OKU bagi memudahkan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik.

PAS, ujarnya berharap inisiatif itu juga diambil oleh pengusaha pengangkutan awam yang lain agar masalah-masalah penindasan atau pencabulan wanita di tempat awam dapat dikurangkan di samping meningkatkan imej perkhidmatan awam di mata masyarakat.

Read More
Posted by Abu Zaid on Thursday, April 29, 2010
0 comments
categories: | edit post


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Bintulu menyifatkan bahawa era ledakan teknologi maklumat ketika ini banyak memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat. Dengan teknologi maklumat terkini, sebaran maklumat dapat dibuat dengan mudah dan tanpa sekatan.


"PAS menyambut baik perkembangan kemudahan teknologi maklumat yang didapati kini. Dengan perkembangan tersebut, kita mampu untuk menyampaikan isu-isu terkini kepada rakyat dan rakyat juga mempunyai capaian kepada apa yang ingin kita sampaikan" ulas Ketua Pemuda PAS Bintulu.


"Semenjak puluhan tahun BN memerintah, rakyat telah disekat daripada mendapat maklumat yang tepat dan jelas berkenaan sesuatu perkara. BN telah menapis segala maklumat dan menyampaikan hanya perkara yang memberi keuntungan politik kepada mereka sahaja. Ini jelas terbukti sehingga kini yang mana media massa utama baik media cetak mahupun elektronik masih lagi dilihat sebagai dikongkong oleh parti pemerintah"


"Akan tetapi, parti pemerintah ketika ini sangat bimbang dengan maklumat yang disebarkan melalui internet yang tidak dapat mereka sekat. Kesempatan inilah yang digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk memberikan maklumat yang jelas dan tepat kepada rakyat. Kita mendedahkan segala salah laku wakil-wakil rakyat BN, kita sampaikan kepada rakyat tentang penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan BN, kita maklumkan tentang penindasan rakyat oleh parti pemerintah"



PAS Kawasan Bintulu menyeru agar penduduk Bintulu khasnya supaya lebih peka dengan perkembangan teknologi maklumat agar tidak tertinggal dari arus semasa yang mementingkan ilmu pengetahuan dalam menjamin kehidupan yang lebih baik.


Read More
Posted by Abu Zaid on Tuesday, April 20, 2010
0 comments
categories: , | edit post








Sumber: Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 30 Mac: PAS mahu kerajaan mengkaji kegagalan urusniaga Pos Malaysia dan mahu Pengerusi Pos Malaysia, Pengerusi Khazanah Nasional dan Menteri Kewangan bertanggungjawab di atas kerugian berjumlah RM546 juta itu.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, Pos Malaysia sebagai GLC milik negara membelanjakan wang rakyat untuk urusniaganya seharusnya memberikan pulangan yang positif bukannya memberikan kerugian yang besar.


Sehubungan itu, katanya, PAS mengambil pandangan yang serius terhadap ucapan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong di parlimen berhubung pendedahan bekas ahli parlimen yang juga mantan Pengerusi Pos Malaysia & Services Holdings Bhd, Tan Sri Adam Kadir dalam majalah Malaysian Business bertajuk 'Is whistle-blowing really serious'.


Katanya, artikel berkenaan turut menyentuh secara langsung isu kehilangan wang rakyat berjumlah RM546 juta dalam pelaburan Pos Malaysia.


Tambahnya, tindakan Khazanah Nasional yang mempengaruhi Pos Malaysia untuk melambatkan penjualan sahamnya dalam syarikat pengendali kargo yang bermasalah, Transmile Group Bhd telah menyebabkan negara rugi bila mana sahamnya jatuh kepada harga 35 sen seunit dengan nilai keseluruhan hanya RM14 juta pada 26 Februari 2010.


Sebelum ini, Pos Malaysia boleh menjual saham itu pada harga tinggi iaitu RM14 dengan nilai keseluruhan adalah RM546 juta, namun percaturan yang dibuat jelas merugikan rakyat.


Pos Malaysia adalah pemegang saham kedua terbesar dalam Transmile Group Bhd selepas raja gula Malaysia, Robert Kuok (Kuok Brothers Sdn Bhd).


Pada tahun 2004, Pos Malaysia menjual 30 peratus kepentingan dalam Transmile Air Services Sdn Bhd iaitu anak syarikat Transmile Group Bhd sebelum membeli saham Transmile Group Bhd.


Walau bagaimana pun penjualan dan pembelian saham-saham itu ternyata tidak mendatangkan faedah bila mana Transmile Group Bhd selepas itu mengalami kemerosotan dan nilai sahamnya jatuh teruk selepas itu.


Tahun lepas sahaja, Pos Malaysia mengumumkan kerugiannya sebanyak RM113.20 juta, di mana RM107.19 juta adalah kerugian yang diterima dalam pelaburan di Transmile Group Bhd.


"Rakyat pasti bertanya, kenapa Pos Malaysia tidak mahu melabur dalam Malaysia Airlines Cargo Sdn Bhd (Mas Kargo) yang juga salah satu GLC milik negara yang lebih menguntungkan dalam operasi penghantaran kargonya?


"Adakah pelaburan sebelum ini ada kepentingan untuk membantu menyelamatkan syarikat Transmile Group Bhd yang turut dimiliki bersama dengan Robert Kuok?" tanya Idris.


Menurutnya, PAS hanya melihat kes itu sebenarnya mengulangi insiden kegagalan pengurusan GLC milik negara seperti Proton yang menjual sahamnya dalam MV Agusta dengan harga 1 Euro sahaja.


Tambahnya, pendedahan mantan Pengerusi Pos Malaysia itu juga harus disiasat dan rakyat mahukan jawapan.

Read More
Posted by Abu Zaid on Tuesday, March 30, 2010
0 comments
categories: | edit post


Yang di-Pertua PAS Kawasan Bintulu, ketika diminta mengulas tentang perlantikan semula TGNA sebagai Mursyidul Am, menegaskan bahawa keputusan Majlis Syura PAS tersebut adalah keputusan yang tepat dan sangat dialu-alukan oleh semua pihak baik ahli-ahli PAS sendiri mahupun rakan-rakan dalam komponen Pakatan Rakyat.

Ini jelas, katanya, kerana kepimpinan TGNA telah terbukti sangat releven dengan situasi dan suasana politik tanahair ketika ini. TGNA dihormati bukan sahaja oleh kawan malah lawan turut mengakui ketrampilan dan ketokohan ulama mujtahid ini. Pandangannya melangkaui pandangan seorang manusia biasa disebabkan oleh panduan wahyu dan sunnah yang dihayati dan diteladaninya.

TGNA yang juga Menteri Besar Kelantan merupakan seorang tokoh politik dan ulama yang tersohor dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

YDP PAS Kawasan Bintulu mengharapkan agar semua petugas parti akan terus berkhidmat kerana Allah tanpa mengira walau siapa saja yang dilantik asalkan asas perjuangan PAS diteruskan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Read More
Posted by Abu Zaid on Monday, March 29, 2010
0 comments
categories: , | edit post





KENYATAAN RASMI
YAB TUAN GURU DATO' HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI BESAR KELANTAN

PERLANTIKAN SEMULA SEBAGAI AL-MURSYIDUL AM PAS

• Saya telah dimaklumkan mengenai perlantikan semula saya sebagai Al-Mursyidul Am bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk sesi 2010-2015 sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat kedua Majlis Syura pada hari ini, jam 10 pagi pada hari ini, 29 Mac 2010.

• Sukacita saya ingin merakamkan terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat di atas kepercayaaan diberikan kepada saya bagi memikul amanah yang berat ini. Ia juga adalah satu cabaran bagi saya untuk terus memberikan khidmat sebagai Al-Mursyidul Am menurut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS.

• Namun, saya anggapkan ia sebagai ketentuan Allah Subhanahu wataala kerana kemampuan saya untuk menjalankan tugas ini amat bergantung kepada masa dan keupayaan serta keadaan kesihatan saya. Bahkan pada pagi ini pun, saya baru saja menghadiri sesi pemeriksaan doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

• Seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, bahawa saya tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima pelantikan ini sekiranya Majlis Syura berpandangan untuk terus memberi kepercayaan kepada saya. Saya sifatkan itu adalah keputusan 'syura' yang bakal membantu saya memikul amanah ini. Lebih-lebih lagi di dalam mempersiapkan upaya parti menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 nanti.

• Menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti.

• Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat.

Semoga kerjasama dan husnul-zhon (sangka baik)dari semua kepimpinan, saya yakin PAS akan terus menjadi parti yang perkasa dan Insya-Allah PAS di Kelantan bersama-sama PAS di seluruh Negara akan terus utuh bersama-sama rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam mendepani cabaran politik baru di Malaysia hari ini.

Sekian, wassalam.


TUAN GURU DATO' HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 29 Mac 2010

Read More
Posted by Abu Zaid on
0 comments
categories: | edit post



Harakahdaily


TEMERLOH, 27 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pakatan Rakyat (PR) berkeyakinan akan dapat memenangi semula kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan sokongan rakyat yang semakin meningkat di samping terlalu banyak isu yang semakin membebankan Umno/BN.


Pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor dijangka akan diadakan dalam masa terdekat berikutan kematian ahli parlimennya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, malam semalam.


Tuan Ibrahim (gambar) yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengulas perkembangan semasa dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang selepas mempengerusikan mesyuarat PAS negeri, sebentar tadi berkata banyak isu yang berlaku menyulitkan Umno untuk menjawabnya.


"Banyak isu yang sedang berlaku sekarang membelenggu Umno. Kita ada tiga isu besar yang membabitkan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu 1Malaysia 1Israel dan isu lompat parti. Isu ini akhirnya menjadi beban kepada mereka. Kesemua isu ini akan kita dedahkan dan Umno begitu sulit untuk menjawabnya.


"PAS yakin apa yang diusahakan kerajaan Selangor selama dua tahun selepas pemerintahannya akan berjaya mempengaruhi pengundi," katanya.


Ketika ditanya kesan daripada beberapa wakil rakyat melompat parti akan digunakan oleh Umno untuk berkempen, Tuan Ibrahim berkata PR tidak bimbang memandangkan wakil rakyat melompat tidak mempunyai pengaruh.


"Masa mereka keluar pun tak ada orang yang nak ikut. Mereka tak ada pengaruh sebaliknya isu itu akan membebankan Umno," katanya.

Read More
Posted by Abu Zaid on Sunday, March 28, 2010



GOMBAK, 6 Dis: Menteri Besarnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam melahirkan rasa yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa rakyat Kelantan yang dizalimi disebabkan kerajaan pusat enggan memberi wang royalti minyak pada kerajaan negeri.

"Kalau orang kafir (berdoa) pun, Allah janji akan makbulkan doanya kerana dizalimi, inikan pula orang Islam dan berjuang Islam di Kelantan," jelasnya dalam Himpunan Perpaduan Ummah 'PAS For All.
Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan bahawa beliau tidak kecewa jika ada pihak tertentu mengkritik saranannya bahawa rakyat Kelantan akan berdoa agar Najib dibinasakan.
Beliau juga melahirkan rasa tidak kisah dengan laporan negatif beberapa media massa, sebaliknya suka dengan beberapa kritikan tersebut.
"Hari-hari surat khabar (arus perdana) caci saya, saya sengeh (kerana) suka."
Baginya, berdoa sama ada memohon sesuatu hajat atau menolak sesuatu kezaliman merupakan sesuatu yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.
"Bila kita ikut Nabi, jadikan doa sebagai senjata mukmin, maka ada orang yang marah."
Dalam ceramah selama 20 minit di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar, Beliau turut melafazkan doa khusus kepada Najib.
"Ya Allah ya Tuhanku, tolong buka hati Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya Perdana Menteri Malaysia perbetulkan fikirannya (lalu) beri (royalti minyak) petrol (milik) Kelantan)," doa Nik Aziz
"Minta perbetulkan pandangan Najib kalau dia berniat baik (dan) kalau berniat jahat (maka) musnahkannya."
"Kalau kamu (Najib) jahat, takkan nak suruh saya doa ya Allah, kau tolonglah orang yang jahat."
Sebelum pada itu, Kelab Penyokong PAS berbangsa India, Bala Subramaniam berpendapat bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melahirkan rasa terkejut dengan saranan doa Nik Aziz agar Najib dibinasakan disebabkan kezaliman Perdana Menteri itu.
Ujarnya lagi, sepatutnya Muhyiddin menasihatkan Najib agar segera bertaubat dari melakukan kezaliman.
Nada yang sama turut ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
"Saya orang bukan Islam pun percaya bahawa Tuhan akan membantu rakyat yang dizalimi, kenapa Muhyiddin dan Najib tidak percaya doa Tok guru," ujarnya.

Read More
Posted by Parti Islam Se-Malaysia Bintulu on Sunday, December 6, 2009
2 comments
categories: | edit post

KUALA NERUS – Dalam masa tidak sampai setahun Perdana Menteri baru, Dato’ Seri Najib Razak mengambil alih pemerintahan, sebanyak 3 lesen judi baru telah dikeluarkan.


(Gambar - Anwar menandatangani plak perasmian pejabat baru PKR Cabang Kuala Nerus)

Jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr. Awang Adek yang berkata, pendapatan dari aktiviti perjudian digunakan untuk kebajikan rakyat, telah ditolak dan ditentang oleh wakil-wakil bukan Melayu dan bukan Islam.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata demikian, mendedahkan perbahasan di parlimen baru-baru ini, ketika berucap dalam ceramah sempena perasmian pejabat PKR Cabang Kuala Nerus, di Taman Desa Solehah, Jalan Kelantan disini, kelmarin.

”Dunia betul-betul sudah terbalik sekarang, orang Melayu Islam Umno luluskan judi, wakil-wakil bukan Melayu, bukan Islam menentang,”ujarnya.

Beliau turut mencabar, dimanakah golongan Ustaz-ustaz dalam Umno yang tidak berkata apa-apa atas tindakan kerajaan, meluluskan lessen-lesen judi baru itu, dan meningkatkan aktiviti ‘haram’ tersebut.

Sebelum itu, pada sebelah petang, Anwar hadir dan menutup Majlis Konvensyen PKR peringkat negeri Terengganu di Seberang Marang.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah, Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution, Pengerusi PKR Negeri, Hj Abdul Rahman Yusof dan Yang DiPertua PAS Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Read More
Posted by Parti Islam Se-Malaysia Bintulu on Tuesday, November 24, 2009
0 comments
categories: | edit post

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin mempersoalkan tindakan seorang pegawai JAIS yang terlibat dalam kes beliau, yang turut mengutuk Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pegawai terbabit yang juga AJK Pegawalan Aqidah Majlis Agama Islam Selangor dikatakan turut menyesatkan kedua-dua tok guru itu dengan tuduhan wahabi.

"Dii sini disertakan tulisan-tulisan pegawai JAIS yang terlibat dalam kes saya. Tulisan-tulisan ini dipetik dari blognya. al-Subki adalah nama penanya.

"Tulisan-tulisan menunjukkan beliau juga turut menyesatkan YAB Nik Aziz dan YB Hj Abd Hadi dengan tuduhan wahabi. 'Anak Pak Wahab' itu merujuk ke pengikut wahabi." kata Dr Asri kepada Harakahdaily.

Tinjauan Harakahdaily mendapati terdapat satu carian alsubki2.blogspot.com di bawah nama Ustaz Mahfuz Muhammad @Hj. Khalil, dipercayai AJK Pegawalan Aqidah Majlis Agama Islam Selangor terbabit.

Terdapat satu tulisan Mahfuz bertarikh 18 March 2009 dibawah tajuk "Dari blog Ahli Sunnah Wal Jamaah Diari - Mesyuarat Anti Wahabi" berhubung penentangan untuk mengekang gerakan fahaman Wahabi di negara ini.

"Untuk penjelasan lanjut, boleh layari laman blog sahabat saya al-subki.blogspot.com. yang membicarakan dengan lebih terperinci lagi mengenai fahaman ini. Atau sekiranya ada soalan, saya akan cuba memberi jawapan sebaik mungkin," tulis Mahfuz dalam blognya.

Harakahdaily bertanya kenapa blog asal al-subki ini telah bertukar, Dr Asri menjawab ianya disebabkan oleh satu kes yang berlaku, yang tidak mahu didedahkan beliau.

"Dia ini telah mengutuk dan menghina Ustaz Nik Aziz dan Ustaz Hadi lebih dulu daripada saya.

"Orang seperti ini tidak boleh dibiarkan, sehingga ramai marah dan jika dibiarkan akan semakin melampau," katanya yang merujuk keratan yang diemaikan kepada Harakahdaily.

Tiga keratan antaranya bertarikh 26 Jun 2008, membabitkan kutukan beliau terhadap Nik Aziz dan Abdul Hadi.

Salah satu keratan di bawah tajuk "Nik Aziz dan Allah duduk lendik atas arash" memuatkan petikan dipercayai daripada tulisan pegawai terbabit yang antaranya berbunyi :"Kalau di lihat sejarah beliau di Kelantan sejak pulang dari luar negeri telah dilihat membawa fahaman songsang..."

Dr Asri membangkitkan apakah pegawai JAIS 'dibiarkan' oleh Kerajaan Selangor dengan tujuan tertentu dan sewajarnya satu tindakan perlu diambil berhubung isu ini.

"Apakah ini pendirian Kerajaan Selangor, atau hanya JAIS?" katanya yang mahu perkara ini didedahkan untuk pengetahuan umum.

Sumber: HarakahDaily

Read More
Posted by Parti Islam Se-Malaysia Bintulu on
0 comments
categories: | edit post

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ahli Parimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju untuk bersama pakatan Rakyat dalam Kaukus Khas Parlimen berkaitan royalti petroleum.

Ketua pembangkang di parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu memaklumkan perkara itu mencadangkan agar Tengku Razaleigh mempengerusikan kaukus berkenaan.

"Saya dimaklumkan oleh Tengku Razaleigh, beliau setuju bersama dengan kaukus petroleum,"

"Kita (Pakatan Rakyat) cadangkan Tengku Razaleigh mempengerusikan kaukus ahli-ahli parlimen ini," katanya katanya dalam satu sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di parlimen petang tadi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh yakin Tengku Razaleigh dapat membuktikan pentafsiran yang tepat berhubung perkara itu memandangkan beliau merupakan bekas Pengerusi Petronas.

"Saya percaya dengan latar belakang dan pengalaman Ku Li beliau akan dapat membantu," katanya lagi.

Menurut Anwar juga, kaukus berkenaan akan turut memanggil wakil dari parti komponen Barisan Nasional termasuk negeri-negeri pengeluar petroleum.

"Kita akan mencadangkan supaya kaukus ini mewakili semua parti dan kita akan menjemput wakil Umno, MCA dan lain-lain selain Pakatan terutamanya negeri-negeri-negeri pengeluar minyak iaitu Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak," ujarnya.

Anwar juga memberitahu, beliau akan memaklumkannya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhammad Nazri Aziz yang menyelia hal parlimen.

"Sebagai prosedur, selepas Pakatan bersetuju, kita akan maklumkan kepada Datuk Nazri sebagai menteri yang bertanggungjaawab kemudian kepada wakil parti yang lain.Selama ini belum ada kesediaan parti-parti yang lain yang turut hadir beberapa perjumpaan," ujarnya.

Draf rang undang-undang mengenai petroleum juga ujarnya akan dibentangkan untuk dibahaskan pada sesi parlimen akan datang.

"Draf rang undang-undang mengenai petroleum yang akan jelaskan kedudukan dan bidang kuasa negeri kita siapkan dan cuba kita bentangkan untuk dibahaskan dalam sesi parlimen akan datang," katanya.

18 November lalu, Anwar, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh bagi mencadangkan beliau mengetuai kaukus tersebut.

Penubuhan kaukus khas parlimen ini dilihat mempu mencari jalan paling munasabah untuk menyelesaikan isu.

Sumber: HarakahDaily

Read More
Posted by Parti Islam Se-Malaysia Bintulu on
0 comments
categories: | edit post

Facebook PAS Bintulu


Selamat Datang

Islamic Calendar

Hubungi Kami

Hubungi admin melalui emel: pasbintulu@gmail.com

Masukkan derma ikhlas anda ke:

Akaun PAS Kawasan Bintulu

Bank Islam Malaysia Berhad

11-031-01-002165-4

Laman Diskusi