PRK Hulu Selangor yang berlaku pada hari ini akan memberikan satu penanda aras dalam senario politik yang bakal berlaku di Sarawak. Secara langsung atau tidak, kesannya akan turut dirasai dalam PRK Sibu yang akan menyusul. Seterusnya, PRK Sibu akan memberi satu penanda aras baru tentang penerimaan rakyat Sarawak sama ada terhadap PR atau BN.
Jika diteliti keputusan PRU Sibu 2008 yang lalu, kemenangan BN ditentukan oleh undi bukan Cina. Masyarakat Melayu, Melanau, Iban dan suku-suku lain telah memilih BN. Majoriti masyarakat tersebut memilih BN.
Suasana PRU 2008 adalah sangat berbeza dengan PRK Sibu yang akan datang. Suasana politik Sarawak hari ini menyaksikan satu era Pakatan yang kukuh. Bermula dengan PRK Batang Ai, satu kerjasama PR yang baik telah dipelopori walaupun diakui bahawa masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Bertitik tolak dari situlah parti-parti komponen PR menilai dan melihat masa depan PR yang baik hanya akan tercapai jika masing-masing bekerjasama dengan cara yang tersusun dan terancang. Hubungan baik diantara parti komponen serta fokus kepada perkara yang dipersetujui bersama memainkan peranan yang penting dalam jalinan hubungan sesama komponen PR.
Atas dasar itulah pada hari ini kita dapat melihat satu kerjasama yang kukuh di antara parti komponen pakatan di semua peringkat. Bermula dengan sayap pemuda, satu Sekretariat Pemuda PR telah ditubuhkan dalam menghadapi PRK Sibu. Disusuli pula dengan pengumuman pucuk pimpinan tertinggi peringkat nasional setiap parti komponen bahawa semua komponen akan bersatu di bawah satu pakatan untuk berdepan BN di Sibu.
Dengan kerjasama tersebut, masyarakat Melayu, Melanau, Iban dan lain-lain diseru supaya memberi undi mereka kepada PR. Kempen yang dibuat perlu sampai kepada semua pengundi sasaran tersebut. Peningkatan undi Melayu, Melanau, Iban dan lain-lain akan memastikan kemenangan kepada PR.
PAS Kawasan Bintulu berharap agar rakyat Sarawak dapat bersama dengan Pakatan Rakyat dalam merubah kehidupan kita ke arah yang lebih baik. Kita perlu bersama menghentikan segala penyelewengan, ketirisan, salah guna kuasa, serta kepentingan peribadi dalam urus tadbir kerajaan oleh BN. Islam menganjurkan keadilan, memelihara jiwa, akal, harta dan keluarga. Semua ini bagi memastikan bahawa kehidupan ini sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang tuhan yang maha Pencipta.
0 comments