Dari harakahdaily.net
Mohd Sabri Said
PULAU PINANG, 6 Jun: PAS berbangga dengan keberanian dan semangat
kental yang ditunjukkan sukarelawan bantuan negara ke Gaza walaupun
dikepung dan dipenjarakan di Israel namun semangat mereka tetap kental
dan percaya pengalaman tersebut boleh dimanfaatkan kepada rakyat
negara ini.
Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa semasa ditemui selepas
merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan Sunshine Square Bayan
Baru pagi tadi menegaskan, apa yang mereka korbankan demi
menyelamatkan rakyat Gaza di Palestin amat dihargai walaupun gagal
untuk meneruskan perjalanan kerana diserang dan dikepung oleh tentera
rejim Israel di laut antarabangsa.
Katanya, kepulangan mereka dianggap satu pengorbanan yang cukup besar
dan bakal menambah semangat rakyat Malaysia untuk terus membantu dan
menghantar misi bantuan sekerap mungkin.
"PAS ucap tahniah dan berbangga dengan semua aktivis sukarelawan yang
telah mewakili berbagai agensi, persatuan dan badan bukan kerajaan
(NGO) yang sanggup berhadapan dengan ancaman tentera Yahudi," ujarnya
yang juga Ahli Parlimen Bachok.
Menurut beliau lagi, semua pengalaman tersebut akan dipersembahkan
kepada rakyat yang cintakan keamanan di samping menerangkan saat-saat
genting ketika berhadapan dengan tentera zionis.
Apa pun tambahnya, semasa pertemuan di meja bulat Majlis Pakatan
Rakyat, Jumaat lepas beliau mencadangkan supaya misi bantuan ke Gaza
dijadikan agenda tahunan bukan setakat melaksanakannya mengikut
keperluan.
Ini kerana, ujarnya rakyat Malaysia khususnya amat prihatin apabila
menyebut soal Palestin di mana mereka sanggup memberikan apa sahaja
demi maruah umat Islam di sana.
"Memandangkan umat Islam di Malaysia prihatin terhadap kesengsaraan
penduduk di Palestin, maka menjadi kewajiban kita teruskan usaha murni
menghantar bantuan beserta dengan sukarelawan ke sana walaupun diancam
keganasan Yahudi laknatullah," ujarnya.
Sementara itu, 12 sukarelawan negara ini yang ditawan oleh tentera
rejim Israel pagi Isnin lepas selamat tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5.45 pagi ini.
Mereka yang berlepas dari Istanbul, Turki adalah aktivis dan wakil
media yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) yang berada
di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel
itu.
Mereka terdiri daripada ketua misi daripada HaluanPalestin, Noorazman
Mohd Samsuddin bersama empat rakannya, Dr Mohd Arbai'e Syawal, Dr Syed
Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, Al-Hami Husain Suhaimi dan Mohd
Nizam Mohd Awang.
Selain mereka ialah Hasanuddin Mohd Yunus (Aqsa Syarif), Jamuliddin
Elias (Yayasan Amal), Dr Selamat Aliman (JIM), Abdul Halim Mohd
Redzuan (Muslim Care), Mustafa Mansur (Mapim) serta wartawan dan
jurukamera Astro, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latif.
0 comments