Sadong Jaya: PAS Sarawak bertapak kukuh

KUALA LUMPUR, 11 Jan: PAS Sarawak kini berkeupayaan bertapak lebih kukuh untuk bertanding dalam pilihanraya bagi kerusi Dun Sadong Jaya yang terletak dalam kawasan Parlimen Batang Sadong.

Ini kerana kerusi Dun Sadong Jaya akan diserahkan kembali oleh PKR kepada PAS, ekoran kerusi Dun itu merupakan kerusi tradisi PAS yang telah ditandingi sejak pilihanraya negeri itu tahun 2001 lalu.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Haji Adam Ahid (gambar) menegaskan, penyerahan itu akan berlaku ekoran beberapa rundingan yang telah diadakan antara kepimpinan PAS dan PKR Sarawak dengan semangat setiakawan.

Menurut beliau, rundingan tersebut diadakan bagi kepentingan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka akan diadakan tahun ini.

"Kerusi Dun Sadong Jaya telah ditandingi PAS sejak pilihanraya umum negeri Sarawak pada tahun 2001 yang diwakili oleh saya sendiri bagi pihak PAS.

"Atas permintaan PKR dan semangat setiakawan, kerusi Dun itu telah diberikan oleh PAS kepada PKR untuk ditandingi dalam pilihanraya umum Sarawak pada tahun 2006 lalu," katanya ketika ditemui di sini.

Pemberian itu, menurut beliau, dilakukan oleh PAS bagi mengelakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru bagi kawasan itu dalam pilihanraya tersebut.

"Sebelum diberikan kepada PKR, PAS sememangnya telah mempunyai kekuatan tersendiri di kawasan itu. Tetapi untuk menghadapi pilihanraya tahun 2006, atas permintaan PKR, kerusi Dun Sadong Jaya telah diserahkan kepada PKR untuk ditandingi, manakala PAS bertanding di kawasan Dun lain sebagai gantinya," katanya.

Sesuai dengan kawasan itu sebagai kawasan tradisi PAS yang telah ditandingi sejak tahun 2001, menurut beliau, dalam pilihanraya tahun 2006 lalu, calon PKR hanya tewas sebanyak 800 undi sahaja kepada Barisan Nasional.

Dari kajian semasa yang dilakukan, para pengundi di kawasan itu bagaimanapun lebih berhajat kepada PAS untuk bertanding di kawasan itu untuk menghadapi pilihanraya akan datang dan seterusnya.

"Disebabkan realiti itu, saya dan rakan-rakan kepimpinan PAS negeri baru-baru ini telah mengadakan rundingan dengan kepimpinan PKR untuk diserahkan kembali kerusi itu kepada PAS.

“Hasil dari rundingan itu, insya Allah PKR akan menyerahkan kembali kerusi Dun Sadong Jaya kepada PAS untuk menghadapi pilihanraya tahun 2011 ini nanti," katanya.

Untuk menghadapi pilihanraya akan datang, menurut beliau, PAS akan bertanding sekurang-kurangnya bagi enam kerusi Dun di Sarawak.

"Berdasarkan perkembangan terkini, dari keenam-enam kerusi Dun yang akan kita tandingi itu, PAS mempunyai harapan untuk menang bagi tiga Dun iaitu Sadong Jaya, Beting Maro dan Sebuyau," jelasnya.

Sungguhpun begitu, katanya PAS Sarawak tidak akan berpada dengan perkembangan itu.

Beberapa perancangan telah pun disusun bagi membolehkan PAS mencapai kemenangan di tiga kawasan Dun itu dan kawasan-kawasan lain yang ditandingi.

"Kajian terperinci tentang potensi kawasan itu kini sedang giat dilakukan oleh PAS Sarawak, manakala penjelasan kepada rakyat tentang perlunya mereka menolak BN dan menyokong PAS atau Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang akan dilakukan secara berterusan," jelas beliau.

Posted by Parti Islam Se-Malaysia Bintulu on Tuesday, January 11, 2011
categories: , edit post

0 comments

Post a Comment

Facebook PAS Bintulu


Selamat Datang

Islamic Calendar

Hubungi Kami

Hubungi admin melalui emel: pasbintulu@gmail.com

Masukkan derma ikhlas anda ke:

Akaun PAS Kawasan Bintulu

Bank Islam Malaysia Berhad

11-031-01-002165-4

Laman Diskusi