http://www.bintulu.org/2014/06/16/bintulu-taxpayers-paid-nearly-half-a-billion-taxes-in-2013.php

KUTIPAN CUKAI 2013 HAMPIR SETENGAH BILLION, APA MANFAAT UNTUK RAKYAT BINTULU?
Dengan pencapaian hebat hasil kutipan cukai LHDN Bintulu bagi tahun 2013,sudah pasti manfaatnya wajib dinikmati penduduk Bintulu khususnya dan negeri Sarawak,amnya. Ini kerana Cukai merupakan satu instrumen ekonomi yang amat penting bagi sesebuah Negara atau negeri memperolehi hasil atau pendapatan,dan daripada hasil cukai ini digunakan oleh sesuatu kerajaan itu untuk mentadbir dan mengurus negara dan juga bagi perbelanjaaan membangunkan negara.Cukai yang dikutip ini dibelanjakan oleh kerajaan bagi tujuan keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah, tujuan membangunkan ekonomi, tujuan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebajikan rakyat dan banyak lagi.

Namun;kini rakyat Bintulu masih dihimpit kedhaifan dan kos sara hidup khasnya sewa dan harga rumah melampau, infrastruktur jalanraya yang amat tidak selamat dan kondusif, jadi apa yang mampu kita harapkan dengan hasil cukai lebih tinggi kalau hasilnya masuk ke poket bocor kerajaan BN yang memerintah?Lebih buruk lagi pengenalan GST pada tahun depan ,pastinya hasil Negara meninggkat ,tapi rakyat terus digasak oleh tindakan cukai regresif ini.

GST adalah cukai regresif. Cukai pendapatan sama ada individu atau korporat pula bersifat progresif. Cukai progresif secara mudahnya bermaksud semakin tinggi pendapatan individu atau korporat, semakin tinggi cukai yang mereka kena bayar. Ini suatu yang munasabah kerana Ibnu Khaldun menyatakan di dalam kitabnya yang masyhur "Al Muqaddimah", kerajaan perlu memikirkan bagaimana pendapatan rakyat harus ditinggikan bagi mendapat cukai yang tinggi daripada rakyat untuk mengisi perbendaharaan negara. GST pula bersifat pusing ke belakang atau regresif kerana cukai dikenakan kepada semua penduduk termasuk rakyat yang tidak berpendapatan atau yang berpendapatan rendah.

Logiknya, rakyat yang susah dan miskin sewajarnya ditolong oleh kerajaan kerana mereka tiada pendapatan atau berpendapatan rendah, tapi ini tidak berlaku dalam rejim percukaian GST. Dengan adanya GST, keadaan menjadi terbalik iaitu rakyat yang susah pula disuruh menolong kerajaan dengan meminta semua rakyat tanpa kira miskin dan kaya membayar cukai. Memandangkan GST adalah cukai penggunaan yang dikenakan di semua peringkat pengeluaran barang yang mana kerajaan perolehi hasil cukai di semua rantaian penawaran barangan (supply chain), pengguna adalah pihak yang paling teruk kerana kena membayar cukai atas penggunaan barang dan tidak mendapat apa apa rebat.

Sebagai contoh kita ambil kes kopi. Bagi rantaian penawaran kopi, kerajaan akan dapat hasil cukai daripada penanam kopi, pengilang kopi, pedagang kopi, peniaga runcit kopi dan akhirnya pengguna atau pembeli kopi. Meskipun penanam, pengilang, pedagang dan peniaga runcit kopi dikenakan cukai GST namun mereka berhak mendapat semula bayaran cukai tersebut melalui rebat. Pengguna kopi sahaja yang kena bayar GST dan tidak mendapat faedah rebat.

Yang lebih teruk lagi jika BRIM diberi setahun sekali, GST pula dibayar semua rakyat setiap hari. GST dibayar 24 jam selama 365 hari setahun. Pakar ekonomi menyatakan segmen masyarakat yang paling teruk menerima kesan daripada GST adalah golongan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana. Golongan kaya tidak menerima kesan dan jika ada sekalipun ia hanya menanggung kesan yang minima. Malahan dalam keadaan tertentu golongan kaya mendapat manfaat dari GST.

Adakah kerajaan BN sedar , bahawa jika GST dikecualikan ke atas barangan tertentu pihak yang mendapat manfaat daripada pengecualian itu adalah golongan kaya kerana mereka hakikatnya menggunakan lebih banyak dan kerap barangan yang dikecualikan GST tersebut? Meskipun barangan asas seperti beras, tepung, gula atau barangan keperluan lain dikecualikan GST, pengecualian itu terpakai kepada semua termasuk golongan kaya. Jadi pasti orang kaya yang untung. Jika kita beli kek di kedai kek (dibuat dengan tepung dan gula) sebagai contoh, rakyat miskin yang nak beli kek kini dikenakan cukai dibandingkan sebelum GST dikenakan. Jika anak atau isteri Menteri beli kek, mereka tidak ada masalah bayar harga kek yang dikenakan GST tapi bagaimana anak orang susah?

Kerajaan berbangga 160 negara yang amalkan GST tanpa mengira negara yang kuat ekonominya seperti Amerika Syarikat juga tidak setuju dengan GST. Ya, banyak negara negara maju melaksanakan GST namun berapakah jumlah pendapatan per kapita mereka. Kita ambil contoh Singapura. Pada tahun 2012, menurut Fox Magazine pendapatan per kapita rakyat Singapura sebanyak US$56,000. Bagaimana dengan Malaysia? Dalam ucapan belanjawan 2014, menurut perdana menteri pendapatan per kapita negara kita adalah sekitar US$9,500 sahaja. Malahan pada tahun 2020, Malaysia hanya menyasarkan pendapatan per kapita US$15,000. Oleh itu, bagaimana kita nak tiru Singapura?

Singapura kenakan GST kerana cukai pendapatan individu dan korporat di sana secara relatifnya masih rendah. Jadi kekurangan hasil cukai pendapatan ditampung melalui GST. Kadar cukai pendapatan di Malaysia sama ada individu atau korporat lebih tinggi daripada Singapura. Itupun Singapura mulakan GST dengan kadar 3% sedangkan kita terus mulakan dengan 6%. Tetapi apa yang penting dengan jurang pendapatan rakyat miskin dan kaya di Singapura lebih rendah berbanding Malaysia dan pendapatan per kapita mereka jauh lebih tinggi dari kita, sudah tentu kuasa membeli dan membayar cukai rakyat di sana lebih kuat daripada kita. Begitu juga negara negara maju yang lain seperti Australia dan Kanada. GST tidak begitu membebankan rakyat di sana kerana pendapatan per kapita mereka yang tinggi.

Dan bagi negara maju yang melaksanakan GST, rakyat juga mendapat manfaat dan faedah yang banyak hasil kutipan cukai tinggi di mana jaringan keselamatan (safety net) bagi menjaga kebajikan rakyat jauh lebih baik. Maknanya, berbaloi membayar cukai di sana meskipun tinggi. Yang lebih penting lagi di negara negara maju tersebut kadar kebocoran dan ketirisan ekonomi di sana jauh lebih rendah kerana amalan pemerintahan yang baik (good governance) dan hampir bebas rasuah.Di negara kita, kebocoran bilion ringgit akibat rasuah, ketirisan, pembaziran, kronisme dan “rent-seeking” adalah fenomena wajib di dalam laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Jika poket seluar kita bocor, adakah patut kita minta orang lain bagi duit untuk diletakkan di poket yang bocor itu? Barisan Nasional bocorkan kantung wang negara tapi parti tak tahu malu ini masih minta rakyat hulurkan duit untuk dimasukkan dalam kantung yang bocor itu. Jawapan kita, jahit kocek yang bocor kemudian baru minta duit daripada rakyat .

Mohd Azwani Abdul Rani

Bendahari PAS Sarawak/YDP PAS Bintulu

Posted by Parti Islam Se-Malaysia Bintulu on Wednesday, June 18, 2014
categories: edit post

0 comments

Post a Comment

Facebook PAS Bintulu


Selamat Datang

Islamic Calendar

Hubungi Kami

Hubungi admin melalui emel: pasbintulu@gmail.com

Masukkan derma ikhlas anda ke:

Akaun PAS Kawasan Bintulu

Bank Islam Malaysia Berhad

11-031-01-002165-4

Laman Diskusi