“Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berlaku jahat dan keji, dan mengatakan kepada Allah apa yang tidak kamu ketahui.”Al-Baqarah: 168-169
Kepada semua umat Islam khasnya di Bintulu, PAS Kawasan Bintulu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Semoga sebulan puasa kita dapat membentuk peribadi muslim yang bertakwa dan mendapat keampunan Allah dari segala dosa.
Berakhirnya Ramadhan memberi makna bahawa kita kembali bebas untuk makan dan menjamu selera semahu kita. Hakikatnya Allah swt telah menjadikan bumi ini penuh dengan sumber yang berguna bagi manusia memenuhi keperluan dan kehendak badannya. Pada masa sama, bagi manusia telah Allah syariatkan supaya apa sahaja makanan kita syaratnya mestilah halal dan baik. Ini akan mendekatkan kita kepada redha Allah melalui jalan yang Allah berkati. Makanan yang haram dan tidak baik akan membawa kepada jalan syaitan; ini menjauhkan kita dari redha Allah melalui jalan yang dimurkai Allah.
Adapun langkah syaitan itu terlalu banyak; merangkumi dari makanan, cara mendapatkannya, berlebihan dalam berbelanja, tamak haloba, kedekut dan pelbagai lagi. Ini perlu kita jaga, agar tidak terjebak sama mengikuti langkah-langkah syaitan yang menjadi musuh kita.
Buanglah sikap kita yang tamak mengejar kekayaan dunia, sikap yang mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan jiran tetangga, sikap yang menjurus kepada langkah syaitan kerana itu semua adalah perkara yang jahat dan keji. Balasan bagi perkara yang jahat dan keji adalah neraka andai tiada disusuli dengan taubat dan keampunan Allah.
Menggunakan kuasa yang diamanahkan untuk mengaut keuntungan diri sendiri dan keluarga adalah satu daripada langkah-langkah syaitan. Islam melarang pemimpin mengumpul harta melalui pengaruh dan kuasa yang ada kerana kuasa itu adalah amanah yang perlu dijaga. Pemimpin dilantik untuk menjadi pagar bagi memelihara harta; tetapi sebaliknya pagar yang makan padi.
Bukanlah jawatan sebagai wakil rakyat atau menteri itu sebagai kerja untuk mencari makan. Adalah salah jika merebut jawatan sebagai pemimpin masyarakat untuk mencari makan. Pemimpin dibayar gaji dan elaun bulanan untuk menyara hidupnya dan keluarga; hanya itu sahaja haknya. Selebihnya adalah hasil yang perlu diurus dan dijaga bagi memastikan kepentingan awam terpelihara.
Maka, bersempena dengan Aidilfitri yang mulia ini, PAS Kawasan Bintulu mengajak semua rakyat Sarawak dan Bintulu khasnya supaya kita memulakan kehidupan yang baru dengan sama-sama kita menjaga diri dan keluarga supaya sentiasa mendapat makanan yang halal dan baik.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Taqabbal Allahu Minna wa Minkum, Kullu Aam wa Antum bi Khair.
YDP PAS Kawasan Bintulu
0 comments