
Yang di-Pertua PAS Kawasan Bintulu dalam kenyataannya menyebutkan bahawa PAS Bintulu akan menghantar petugas bagi membantu DAP dalam pilihanraya kecil Parlimen Sibu.
"Kita mengharapkan agar kerjasama dan persefahaman yang telah terjalin di antara PAS dan DAP akan memungkinkan berlakunya kemenangan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil yang akan datang di Sibu. Saya yakin bahawa pilihanraya kecil Parlimen Sibu akan memberi satu ruang untuk parti-parti komponen Pakatan Rakyat - PAS, DAP dan PKR - di Sarawak membuktikan bahawa persefahaman dan perpaduan boleh berlaku. Saya melihat masa depan Pakatan Rakyat yang gemilang di Sarawak"
Sehubungan dengan itu, beliau telah bertekad untuk bersama-sama membantu DAP bagi menghadapi pilihanraya kecil tersebut.
"Saya juga mengajak rakan-rakan dari PKR agar sama-sama kita turun untuk membantu kempen pilihanraya di Sibu. PAS akan menghantar petugas-petugas parti bagi memastikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat. Kita akan mendekati para pengundi Melayu untuk meyakinkan mereka bahawa Pakatan Rakyat adalah pilihan yang terbaik buat rakyat"
Sehari sebelum kenyataan ini dibuat, pihak Pemuda PAS Sarawak telah menganjurkan pertemuan Pemuda Pakatan Rakyat Sarawak di Sibu yang turut disertai oleh pimpinan DAPSY, AMK dan Pemuda PAS sendiri. Dalam pertemuan tersebut, ketiga-tiga sayap pemuda tersebut telah mencapai kata sepakat untuk menubuhkan satu Sekretariat Bertindak Pemuda Pakatan bagi menghadapi pilihanraya kecil Parlimen Sibu.
Langkah tersebut dilihat tepat pada masanya untuk membuktikan kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat adalah satu pakatan yang kuat dan berkesan.
0 comments