Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Bintulu menyifatkan bahawa era ledakan teknologi maklumat ketika ini banyak memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat. Dengan teknologi maklumat terkini, sebaran maklumat dapat dibuat dengan mudah dan tanpa sekatan.
"PAS menyambut baik perkembangan kemudahan teknologi maklumat yang didapati kini. Dengan perkembangan tersebut, kita mampu untuk menyampaikan isu-isu terkini kepada rakyat dan rakyat juga mempunyai capaian kepada apa yang ingin kita sampaikan" ulas Ketua Pemuda PAS Bintulu.
"Semenjak puluhan tahun BN memerintah, rakyat telah disekat daripada mendapat maklumat yang tepat dan jelas berkenaan sesuatu perkara. BN telah menapis segala maklumat dan menyampaikan hanya perkara yang memberi keuntungan politik kepada mereka sahaja. Ini jelas terbukti sehingga kini yang mana media massa utama baik media cetak mahupun elektronik masih lagi dilihat sebagai dikongkong oleh parti pemerintah"
"Akan tetapi, parti pemerintah ketika ini sangat bimbang dengan maklumat yang disebarkan melalui internet yang tidak dapat mereka sekat. Kesempatan inilah yang digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk memberikan maklumat yang jelas dan tepat kepada rakyat. Kita mendedahkan segala salah laku wakil-wakil rakyat BN, kita sampaikan kepada rakyat tentang penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan BN, kita maklumkan tentang penindasan rakyat oleh parti pemerintah"
PAS Kawasan Bintulu menyeru agar penduduk Bintulu khasnya supaya lebih peka dengan perkembangan teknologi maklumat agar tidak tertinggal dari arus semasa yang mementingkan ilmu pengetahuan dalam menjamin kehidupan yang lebih baik.
0 comments