Alhamdullillah bersyukur kita ke hadrat Allah swt kerana diberi sekali lagi peluang untuk menyambut Hari Raya Eidul Adha .Tatkala jutaan manusia berhimpun di Tanah Suci Mekkah menunaikan ibadah Haji,kita di semua masjid-masjid dan surau-surau di Bintulu bergema suara takbir memuji Allah yang Maha Esa dan melaksanakan ibadah Korban.
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya".
Dari ayat ini jelas menggambarkan tentang peri pentingnya amal yang Ikhlas dan Taqwa pada Allah mengambil ibrah dari ibadah Korban ini.Banyak pengajaran korban yang dapat kita fahami selain daripada korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s ke atas puteranya Nabi Ismail a.s kerana menurut perintah Allah. Antaranya
1. Ibadat korban mendidik nafsu supaya tunduk dan patuh kepada suruhan Allah dan menjauhi dari perkara yang dilarang.
2. Ibadat korban mendidik diri, keluarga, masyarakat supaya sentiasa bersedia untuk mengorbankan harta, masa, tenaga dan sebagainya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
3. Ibadat korban dapat menyedarkan kita kepada golongan yang kurang kemampuan, fakir miskin dan anak yatim.
4. Ibadat korban adalah peluang untuk kita menziarahi dan merapatkan hubungan kekeluargaan, sahabat handai dan jiran tetangga. Dengan semangat korban akan melahirkan manusia yang mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah dan menjauhi daripada sifat kedekut, bangga diri dan tidak mahu hidup bermasyarakat.
Pengorbanan masa,tenaga dan harta dilakukan untuk melaksanakan tugas perjuangan menegakkan agama Islam dengan meninggalkan keenakan dunia adalah satu pengorbanan yang suci.Namun pengorbanan begini amat payah untuk dilakukan oleh umat Islam kerana sayangkan harta,pangkat,anak-isteri, dan sebagainya maka kita lupa untuk mengorbankan masa bagi menghabiskan sisa-sisa hidup menyerah diri kepada Allah swt.Seharusnya kita ,umat Islam, perlu sedar pengorbanan terhadap agama Islam perlu diletakkan yang teratas sekali melebihi pengorbanan masa dan tenaga yang diperuntukkan untuk mencari kekayaan dunia.
Benarlah kata –kata perjalanan masih jauh ,tapi ingatlah janji kemenangan Islam itu pasti,dan Mati itu semakin dekat dengan kita.
Salam Eidul Adha dari PAS Kawasan Bintulu
0 comments