ISLAM DALAM KONTEKS DEMOKRASI & BERAJA

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SERDANG: Sungguhpun sistem demokrasi moden hari ini adalah dari Tamadun Barat, tetapi hakikatnya ia banyak dipengaruhi oleh sumber-sumber Islam. Malah, ruang demokrasi perlu dijadikan ruang dan kesempatan untuk meluaskan dakwah kerana cirinya yang paling munasabah dengan Islam. Begitu juga konsep Raja Berpelembagaan, ia diterima oleh Islam selagi mana menunaikan amanah dan keadilan serta tidak melanggar batas Islam.

Demikian intipati yang disampaikan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Liqa’ Fikri PAS Pusat bertemakan “Perjuangan Islam Dalam Negara Demokrasi: Harapan dan Cabaran” di Seri Kembangan, di sini 13 Disember lalu.

Terang beliau, hubungan Barat dengan orang Islam terjadi pada urusan perdagangan, semasa Perang Salib dan juga dari penjajahan oleh Barat, di mana mereka bukan sahaja bercampur dengan orang Islam, bahkan turut mengambil kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama Islam.

“Dalam aspek demokrasi, Barat hanya mengkenal demokrasi purba yang diamalkan di Athen sebelum Masihi. (Mereka) mengumpulkan orang ramai di stadium untuk diadakan pungutan suara. Yang dikumpulkan itu tidak termasuk hamba abdi, orang miskin, wanita. Hanya (melibatkan) kalangan bangsawan sahaja.

“Mereka tidak tahu hendak merealisasikan demokrasi dalam pemerintahan melainkan setelah mereka mengkaji kitab-kitab fekah Islam. Sebelumnya bila mereka hendak buat perubahan (kepemimpinan) mereka lancarkan revolusi,” ujarnya menerangkan revolusi yang berlaku di England, Perancis, Russia dan Amerika.

Malah katanya, tindakan tidak puas hati kepada kerajaan telah membangkitkan kerahan rakyat untuk mengangkat senjata, membunuh raja-raja dan para pendokongnya serta pelbagai dendam dan penggulingan kuasa atas nama perubahan.

Hinggalah katanya, mereka mengkaji kitab-kitab fekah Islam diantaranya mempelajari bahawa Islam menentang diktator dan teokrasi dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada makhluk, selain Islam mengecam raja zalim yang berlagak jadi tuhan sepertimana Namrud dan Firaun.

Mereka juga terangnya, memperlajari bahawa Islam memberi hak kepada rakyat dan rakyat berhak memberi nasihat kepada pemimpin, berhak bela diri serta mengambil hak-hak dalam kehidupan, ekonomi, pendidikan dan aspek lain-lain lagi.

Malah menurut Tuan Guru, Barat telah mengambil pendekatan Rasulullah dan para Sahabat dalam melantik Khalifah sebagai rujukan kepada demokrasi hari ini.

“Apabila orang Barat mengkaji kitab fekah, maka terciptalah demokrasi moden yang ada pada hari ini melalui pilihan raya dengan memilih wakil-wakil rakyat yang disebut dalam kitab sebagai ahlul halli wal adli, iaitu orang yang boleh menyelesaikan dan menghurai masalah. Ini pembaharuan dalam demokrasi.

“Kita perlu menyedari bahawa demokrasi adalah teori paling dekat dengan Islam, tetapi kita tidak boleh hanyut. Demokrasi tidak boleh menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Tidak boleh diputus di parlimen; siapa setuju judi halal, siapa setuju arak halal. (Kalau) majoriti setuju (maka) jadi halal, ini tidak boleh! Hukum Allah tidak boleh ganggu. Ini kita kena faham batas sempadan kita dalam pemerintahan negara.

“Sebab itu tidak menjadi masalah kepada kita (PAS) dengan (menerima) konsep demokrasi. Demokrasi pula memberi hak kebebasan bersuara, ini kebebasan dakwah. Hak untuk berdakwah, hak untuk mendidik, hak menyebarkan fikiran ini ialah pendekatan yang paling munasabah dengan Islam. Dengan sebab itulah ulama kita mengambil (menerima) pendekatan demokrasi,” hurai beliau memahamkan.

Menyentuh mengenai konsep Raja Berpelembagaan katanya, Quran menyebut Nabi Daud sebagai Khalifah, manakala Nabi Sulaiman, Zulkarnain, Firaun dan Namrud sebagai Raja.

Tetapi jelasnya, Allah memberi penekanan utama adalah mengenai penunaian amanah dan adil.

“Sama ada (dipanggil) Raja, Khalifah atau Presiden, (itu) mengikut perkembangan tertentu. Apa yang penting konsep Raja Berpelembagaan ini dipelihara dengan batas Islam. Tetapi Umno dia tak pelihara dengan batas Islam,” terangnya.

Beliau kemudian menghurai hadis Nabi SAW mengenai kehendak Allah bila mahukan kebaikan kepada seorang raja, maka dikurniakan wazir yang baik. Sekiranya raja lupa diperingatkan oleh nazir itu dan dalam urusannya, raja sentiasa dibantu.

Tetapi sekiranya Allah tetapkan keburukan seorang raja, akan bersamanya wazir yang jahat. Bila raja itu lupa akan dibiarkannya dan ketika raja itu hendak melakukan kebaikan, tidak dibantunya.

“Konsep beraja tidak masalah pada kita (PAS). Yang penting kita sediakan ahli mesyuarat, penasihat yang baik, bukan penasihat untuk kepentingan kita. Di sinilah ruang banyak yang boleh kita laksana jadikan perjalanan dalam negara kita sebagai satu jalan yang perlu kita bijak sepenuhnya walaupun masih banyak cabaran, masih banyak kelemahan yang kita boleh baiki,” ujarnya meyakini keadaan itu.

Selain itu terangnya, Islam turut mengakui sistem wilayah di mana di zaman Nabi SAW telah diutuskan para Sahabat tertentu untuk menjadi Gabenor di wilayah pemerintahan Islam dan diberi autonomi kecuali dalam hal yang besar perlu dirujuk pemerintahan pusat iaitu Madinah.

Begitu juga jelasnya mengenai kehakiman dan pegawai jentera pentadbiran kerajaan, di mana segala yang tidak selaras dengan roh Islam akan dikeluarkan ketika mana Islam mengambil alih kerajaan dan mementingkan individu-individu beriman.

Posted by Parti Islam Se-Malaysia Bintulu on Monday, December 15, 2014
categories: edit post

0 comments

Post a Comment

Facebook PAS Bintulu


Selamat Datang

Islamic Calendar

Hubungi Kami

Hubungi admin melalui emel: pasbintulu@gmail.com

Masukkan derma ikhlas anda ke:

Akaun PAS Kawasan Bintulu

Bank Islam Malaysia Berhad

11-031-01-002165-4

Laman Diskusi